Jumaat, 1 Februari 2008

Dr Ismail Tambi muda daripada usia

SEORANG rakan apabila diminta meneka umur pakar perunding kesihatan seksual dan reproduktif, Dr Mohd Ismail Tambi, memberitahu umurnya mungkin 49 tahun, manakala seorang rakan lain memilih jalan selamat dengan menyatakan umurnya adalah di bawah 50 tahun.

Ini tidak menghairankan kerana kulitnya masih kelihatan tegang, manakala perut yang biasanya menjadi lambang kemakmuran lelaki tidak begitu menonjol.
Bagaimanapun jika dikira bahawa beliau bersara dari Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) sejak tiga tahun lalu, usia Dr Mohd Ismail kini mencecah 58 tahun, tetapi wajahnya tidak mencerminkan usia sebenarnya.
Mendedahkan rahsia awet mudanya, beliau berkata aspek pemakanan amat penting kerana ia berkaitan kemampuan tubuh untuk menjalani kehidupan harian.
Katanya, falsafah diet hariannya cukup mudah, iaitu sarapan seperti raja, makan tengah hari seperti rakyat biasa dan makan malam seperti orang papa kedana.
Makan seperti raja, katanya bermaksud sarapan mesti mengandungi makanan yang membolehkan seseorang itu bekerja kuat untuk sepanjang hari.
"Sarapan mesti berat kerana kita bangun tidur dengan proses penghadaman sudah selesai. Perut lapar dan mesti diisi agak banyak tetapi berkhasiat. Saya memilih bijirin dicampur susu. Minum pula kopi. Walaupun ada orang kata kopi tidak baik untuk kesihatan, tetapi saya sudah lama minum kopi," katanya.
Dr Mohd Ismail biasanya hanya makan capati dan air suam pada waktu tengah hari dan kadang-kadang minum teh halia yang disifatkannya sebagai baik untuk perut.
Apabila umur meningkat, katanya sesetengah orang menghadapi masalah penghadaman menyebabkan dia memilih makan lebih banyak buah-buahan pada waktu malam.
"Saya akan mengambil makanan paling ringan pada waktu malam dan ini ibarat seperti seorang papa kedana yang tidak cukup makan," katanya.
Beliau biasanya mengambil hingga 600 gram pelbagai jenis buah-buahan tempatan dan import pada waktu malam.
Inilah rahsia Dr Mohd Ismail yang kelihatan masih segak walaupun umurnya hampir mencecah 60 tahun tidak lama lagi.
Sebagai perunding, termasuk kepada bekas majikannya, LPPKN, Dr Mohd Ismail, sentiasa aktif, tetapi ini tidak menghalangnya untuk bersenam.
"Kadang-kadang saya agak sibuk dengan pelbagai temu janji setiap hari, tetapi saya tidak menjadikan itu sebagai alasan untuk tidak bersenam. Saya mengamalkan senaman ringkas yang boleh dilakukan pada bila-bila masa dan di mana-mana.
"Senaman tidak perlu terlalu berat, apatah lagi apabila seseorang itu sudah meningkat usia. Senaman saya sesuai untuk golongan 50 tahun dan ke atas," katanya.
Beliau berkata, senaman penting tetapi ramai orang mengabaikan hingga menghadapi pelbagai masalah kesihatan, termasuk berkaitan seksual.
Katanya, fakta perubatan menunjukkan orang yang bersenam secara konsisten bukan saja mempunyai keadaan fizikal lebih baik dan kurang menghadapi penyakit, malah mempunyai keupayaan seks yang lebih hebat berbanding orang yang malas bersenam.
Dr Mohd Ismail mengakui bahawa senaman saja tidak mencukupi untuk pakej kesihatan yang baik kerana kegagalan mengawal tekanan boleh membawa musibah yang tidak kurang bahayanya.
Katanya, menangani tekanan dengan bijak adalah penting, terutama bagi warga kota yang sentiasa mengejar masa ketika bekerja.
"Saya mengamalkan pendekatan yang mudah untuk mengelakkan tekanan. Pertama, cegah faktor yang boleh menyebabkan tekanan berlaku dan jika berlaku, perlu ada pendekatan yang sesuai untuk menangani keadaan yang tidak dapat dielakkan," katanya.
Sebagai contoh, katanya, untuk mengelakkan perasaan bimbang lewat tiba di sesuatu tempat, usaha yang boleh dilakukan ialah keluar lebih awal dari rumah supaya tiba di destinasi sebelum waktu ditetapkan dan jika ada kesesakan lalu lintas, masih boleh memandu dengan tenang.
Beliau berkata, jika sudah mencuba dan masih terlewat, tekanan boleh dikurangkan dengan menghubungi orang yang hendak ditemui dan memberitahu mengenai kelewatan itu.

Tiada ulasan: